PELAJAR KMK : 80 ORANG
ANJURAN BERSAMA JPP KMK DAN YAYASAN SALAM MALAYSIA
AKTIVITI :
1. MEMBERSIHKAN SURAU DAN SEKITARNYA
2. MEMBERSIHKAN DAN MENGEMAS RUMAH - RUMAH KELUARGA YANG TIDAK
BERKEMAMPUAN
3. LAWATAN DAN SUMBANGAN HAMPER / KEWANGAN
4. JAMUAN UNTUK MASYARAKAT KAMPUNG
5. LAWATAN DAN SUMBANGAN KELUARGA (BERSAMAMU DI TV3)
KONSEP
KESUKARELAAN
Perkataan “sukarela”, menurut Kamus
Dewan, bermakna “dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa-paksa, tidak
dikerah dan dengan rela hati”. Manakala perkataan “kesukarelaan” pula membawa
makna “sikap sukarela”. Selanjutnya, mereka yang melakukan sesuatu dengan
sukarela dipanggil “sukarelawan” bagi lelaki dan “sukarelawati” bagi perempuan.
Berasaskan makna tersebut, kesukarelaan dapat
dimaksudkan sebagai melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa
atau dikerah, dengan niat yang ikhlas atau setulus kudus dan dengan tidak
mengharapkan apa-apa pulangan kepada diri sendiri.
Dalam bahasa lain, misalnya bahasa Inggeris,
terdapat perkataan “voluntarism” yang menurut The Reader’s
Digest-Oxford Wordfinder, membawa erti “the principle of relying on
voluntary action rather than compulsion; the doctrine that the will is a
fundamental or dominant factor in the individual or the universe; the doctrine
that the Church or schools should be independent of the state and supported by
voluntary contributions”.
Manakala perkataan “voluntary” pula
bermaksud “done, acting or able to act of one’s free will; unpaid work;
built, brought about, produced, maintained, etc., by voluntary action or
contribution”. Perkataan “volunteer” pula merujuk “a person who
voluntarily undertakes a task or enters a military or other service, undertakes
or offer one’s services, be a volunteer”.
Dalam masyarakat Melayu, tradisi
kesukarelaan, antara lain, malahan terutamanya, dicerminkan oleh konsep “gotong
royong”. Gotong royong dipraktikkan dalam kehidupan bermasyarakat penyayang dan
prihatin, misalnya dalam membantu kerja-kerja membuat kenduri-kendara, turun ke
sawah untuk menyemai dan menuai, menguruskan sakit pening dan kematian,
memindahkan rumah dan sebagainya.
Konsep gotong-royong dan bantu membantu ini
diperkukuhkan oleh sebahagian daripada item budaya masyarakat seperti yang
dicerminkan oleh peribahasa “yang berat sama dipikul, yang ringan sama
dijinjing” dan “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”.
Konsep gotong-royong mengakomodasi setiap
anggota dalam sesebuah masyarakat, iaitu dengan memberikan peranan kepada semua
orang, dan masing-masing dengan gunanya, seperti yang dapat dilihat dalam puisi
berikut yang diambil dari Hikayat Malim Deman:
Yang pekak pembakar meriam,
Yang buta menghembus lesung,
Yang lumpuh pengalau ayam,
Yang pendek tinjau-meninjau,
Yang kurap memikul buluh.
ISU-ISU
KESUKARELAAN
Kini, terdapat satu hakikat yang terpaksa
ditelan iaitu bahawa, sayangnya, dengan keasyikan kebendaan dan kepentingan
peribadi, tradisi kesukarelaan kelihatan menjadi semakin pudar. Banyak faktor
yang mengakibatkan ini berlaku. Di bawah ini ialah sebahagian daripada
persoalan yang sering ditimbulkan.
Pertama, jumlah anggota atau ahli sesebuah
organisasi sukarela itu tidak semestinya melambangkan jumlah mereka yang
benar-benar bersedia untuk berkhidmat secara sukarela. Ada yang mendaftar
sebagai ahli kerana terpaksa, misalnya sesetengah pelajar sekolah yang
dikehendaki oleh sekolahnya memilih menganggotai sesebuah organisasi berpakaian
seragam. Sebahagian besar dari mereka tidak lagi menganggotainya selepas
meninggalkan bangku sekolah. Atau sesetengah mahasiswa yang mendaftar dalam
mata pelajaran tertentu yang melibatkan kerja sukarela untuk kreditnya, atau
yang mengikuti projek-projek kesukarelaan untuk sijil penyertaannya. Di samping
itu, dalam keadaan yang lain pula, tidak semua anggota organisasi sukarela
adalah benar-benar aktif.
Kedua, jangkamasa seseorang itu berkhidmat
secara sukarela biasanya pendek atau bermusim. Dalam keadaan tertentu,
seseorang sukarelawan/wati itu hanya berkhidmat selama setahun dua sahaja.
Dalam keadaan yang lain, mereka hanya tampil apabila terdapat musim tertentu,
seperti cuti sekolah, maktab atau universiti, atau apabila terdapat
program-program besar seperti Sukan Komanwel.
Ketiga,
terdapat sukarelawan/wati yang, walaupun mempunyai niat yang mulia, tetapi
tidak mempunyai ilmu dan kemahiran yang sesuai untuk melaksanakan sesuatu
perkhidmatan yang ingin atau telah diceburinya. Pada waktu yang sama, jika
mereka berhidmat melalui sesebuah organisasi sukarela, organisasi itu pula
tidak mempunyai kemampuan, sama ada dari segi jurulatih atau sumber-sumber,
untuk memberikan latihan dan pendedahan yang secukupnya.
Keempat,
sebahagian daripada organisasi sukarela tidak mempunyai sistem pengurusan,
sokongan dana dan strategi pemasaran yang kukuh.
Keenam,
sesetengah organisasi sukarela yang besar jumlah anggotanya terpaksa menjalankan
pelbagai jenis aktiviti sehingga kehilangan fokus, dan ini mengurangkan
keberkesanannya.
Ketujuh,
sebahagian organisasi sukarela dipimpin oleh orang atasan seperti pemimpin
politik atau korporat, sehingga menjadi elitis sifatnya. Terdapat juga
muka-muka yang sama yang memimpin beberapa buah organisasi sukarela, di samping
adanya pemimpin yang telah memegang sesuatu jawatan untuk satu tempoh masa yang
amat lama. Sementara itu, ada juga kelihatan mereka yang memegang jawatan dalam
organisasi sukarela seperti untuk kepentingan peribadi atau menjadikan
organisasi sukarela sebagai batu loncatan.
Kelapan,
bagi sesetengah ibu bapa dan pelajar, masa yang digunakan untuk kerja-kerja
sukarela dianggap mencuri masa yang sepatutnya digunakan untuk belajar atau
mengulangkaji demi meraih keputusan peperiksaan yang paling cemerlang.
Kesembilan,
bagi setengah pekerja muda dan mereka yang berpendapatan rendah, setiap
masa yang terluang digunakan pula untuk melakukan kerja lebih masa untuk
menambah pendapatan mereka.
Kesepuluh,
bagi sesetengah mereka yang berada pula, kerana mereka mampu segala, maka
kurang pula perasaan untuk bermasyarakat.
Kesebelas,
budaya wang telah begitu sekali mencengkamnya sehingga sukar sekali untuk
menggerakkan sesuatu secara benar-benar sukarela. Kini, sebahagian daripada
kerja yang dahulunya dijalankan secara sukarela oleh organisasi, telah mula
diswastakan. Budaya ini, mungkin juga dipengaruhi sama oleh faktor masa, turut
meresap ke dalam kubu kesukarelaan yang tradisi seperti kenduri-kendara di
kampung.
Keduabelas,
sebahagian dari masyarakat telah menjadi begitu manja dengan kerajaan sehingga
merasakan bahawa apa-apa sahaja kekurangan yang wujud itu, akhirnya akan
diselesaikan oleh kerajaan. Oleh itu, mereka mengambil sikap “tidak apa”
sahaja.
Ketigabelas,
ramai orang yang berada, sama ada secara individu atau melalui syarikat
korporat, yang sedia untuk menderma. Tetapi, jika para dermawan ini, dengan
tidak menidakkan sumbangannya yang amat berharga itu, tidak bergerak ke tahap
yang satu lagi, iaitu menjadi mereka yang benar-benar prihatin, maka, jika
kesukarelaan terlalu dipengaruhi oleh wang, sekiranya ekonomi mengalami kemerosotan,
adalah dirisaukan yang berkemungkinan besar, dermawan ini akan pudar
kesukarelaannya.
Keempatbelas,
sebahagian daripada kerja-kerja sukarela yang dilaksanakan kini menggunakan
pendekatan “memberi kepada yang memerlukan” dan belum sampai ke tahap
“membimbing dan menggalakkan semangat berdikari”.
Kelimabelas,
masyarakat seperti kurang berminat (atau takut?) dalam hal-hal kepentingan awam
yang melibatkan kritikan terbuka terhadap kerajaan, yang diperjuangkan melalui
advokasi oleh sesetengah organisasi sukarela.
Keenambelas,
terdapat ramai belia dan golongan profesional yang sedia menjadi sukarelawan
tetapi kurang frasarana yang dapat menguruskan kesediaan mereka ini secara
sistematik.
Ketujuhbelas,
negara ini belum mempunyai tradisi sukarelawan sepenuh masa, iaitu yang
berkhidmat sepenuh masa dalam sesuatu kerja kesukarelaan tertentu, yang
memerlukan seseorang itu sama ada bercuti dari kerjayanya atau berkhidmat
selepas tamat pengajian tetapi sebelum mula bekerja, di dalam negara ataupun di
luar negara.
Kelapanbelas,
sektor kesukarelaan di negara ini tidak padu. Terdapat banyak pertindihan dan
kerana itu terjadi pembaziran manakala keberkesanannya tidak dapat dioptimumkan.
Kesembilanbelas,
ramai orang awam yang tidak sedar atau mengetahui tentang peluang-peluang
sebenar yang wujud dalam sektor kesukarelaan, sama ada kerana hanya orang-orang
dan organisasi-organisasi sukarela tertentu sahaja yang sering ditonjolkan oleh
media atau kerana organisasi-organisasi sukarela tertentu memilih untuk
bersifat eksklusif.
Keduapuluh,
terdapat organisasi sukarela yang tidak menguruskan dengan baik
sukarelawan/wati yang datang kepadanya yang menyebabkan mereka mendapat
pengalaman kesukarelaan yang negatif.
Keduapuluh
satu, umumnya pengiktirafan terhadap kesukarelaan, organisasi sukarela dan
sukarelawan/wati masih kurang.
IDEA-IDEA
KESUKARELAAN
Bahagian
1: Membantu Masyarakat
Langkah-langkah kemanusiaan dan
solidariti
- Menyediakan
pemeriksaan kesihatan dan perubatan percuma kepada golongan miskin.
- Melawat
pesakit di hospital.
- Membantu
doktor memberi ubat dan merawat.
- Menderma
darah.
- Kempen
vaksinasi percuma.
- Membantu
golongan yang memerlukan pemulihan fizikal.
- Menyediakan
aktiviti menunggang kuda bagi kanak-kanak istimewa.
- Melawat
kanak-kanak di rumah-rumah anak yatim.
- Menyediakan
khidmat nasihat undang-undang percuma.
- Menyediakan
khidmat persahabatan seperti sokongan dan kaunseling.
- Mengumpul
/ mengedarkan barangan terpakai atau makanan kepada keluarga miskin.
- Menyediakan
makanan kepada golongan miskin.
- Membantu
ibu tunggal dan pesara.
- Menubuhkan
dan terlibat talian-cemas (hot-line) untuk mereka yang dalam kesusahan.
- Tukang
jahit membantu menjahit pakaian untuk yang memerlukan.
- Membantu
golongan petani menuai, menanam, memelihara ternakan, dll.
- Melawat
pusat penahanan juvana.
- Menyediakan
perkhidmatan menulis surat, penemanan (companionship), pemeriksaan
kesihatan dan gunting rambut percuma untuk golongan tua yang memerlukan.
Langkah-langkah Sivik dan Pembangunan
- Mengubahsuaikan
institusi-institusi golongan istimewa, anak-anak yatim dan pesara.
- Mengubahsuaikan
pusat-pusat sivik dan komuniti, sekolah, hospital dan perpustakaan.
- Membina
semula rumah yang usang atau rosak.
- Membina
bilik komuniti di petempatan golongan miskin.
- Membina
jalan atau lorong dengan bantuan sukarelawan/wati pakar dan bahan-bahan yang
didermakan.
- Menambah
bilik darjah di sekolah.
- Mengadakan
gelanggang atau taman permainan untuk kanak-kanak bandar.
- Membersihkan
sekolah, pusat komuniti dan hospital.
- Membuat
bangku-bangku kayu di perhentian bas sekolah.
- Membina
atau membaiki kemudahan-kemudahan bagi kegunaan ramai, seperti tempat mandi
awam, tempat pembuangan sampah, parit dan saluran paip.
- Memulih
atau memperbaiki sumber-sumber air.
- Menyelenggarakan
khemah kerja untuk satu atau dua minggu.
- Mengemaskan
rumah orang-orang tua dan pada masa yang sama menyediakan satu hari untuk
penjagaan istimewa dan hiburan.
- Membersihkan
zoo tempatan untuk kanak-kanak berseronok.
- Membersihkan
tempat bersejarah.
- Membantu
membina dan mengubahsuai tempat-tempat beribadat.
Aktiviti-aktiviti Alam Sekitar
- Menyertai
inisiatif-inisiatif “Bersih dan Hijau”.
- Membersihkan
pantai, sungai, taman dan hutan simpan.
- Membersihkan
jalan-jalan awam dan menjaga pokok-pokok.
- Membina
taman, mengumpul dan menyemai benih serta merumput.
- Menanam
pokok dan penanaman semula hutan.
- Berkempen
untuk alam sekitar.
- Menggalakkan
kanak-kanak terlibat dan mendapat penerangan tentang alam semula jadi dan alam
sekitar.
Langkah-langkah Pendidikan
- Pemindahan
kemahiran teknikal dan penyediaan latihan vokasional melalui kuliah-kuliah dan
bengkel-bengkel percuma.
- Doktor
dan pakar profesional yang lain menyediakan sesi-sesi latihan percuma.
- Menawarkan
bengkel-bengkel materniti dan penjagaan bayi.
- Membina
jalan dengan diketuai oleh jurutera sukarela.
- Wartawan
mengajar belia tentang kemahiran menulis.
- Sukarelawan/wati
mengajar membaca.
- Menganjurkan
kempen-kempen kesedaran tentang, misalnya, alam sekitar atau HIV/AIDS.
- Pelajar-pelajar
sekolah menengah diupayakan untuk melawat projek-projek kesukarelaan yang
diminatinya.
- Menggunakan
zoo untuk mendidik kanak-kanak supaya menyayangi alam semula jadi.
- Kempen-kempen
kesedaran di jalanan melalui poster, pameran, dll.
- Mengajar
teknik-teknik hortikultur.
- Menjadikan
Hari Sukarelawan Antarabangsa sebagai hari “tanpa rokok” dan “tanpa alkohol”
- Menjadikan
Hari Sukarelawan Antarabangsa sebagai hari memulakan program-program celik
huruf dan membaca.
- Pertandingan
bahas tentang isu-isu berkaitan kesukarelaan.
- Sejarawan
atau penulis meninjau sejarah kesukarelaan kebangsaan.
Mengutip derma, mendapatkan penajaan
- Menderma
bahan-bahan sekolah dan bekalan-bekalan hospital.
- Menderma
mesin-mesin atau peralatan-peralatan.
- Mengutip
derma bagi membeli dan mendermakan kerusi roda atau mesin Braille.
- Mengutip
derma bagi menyediakan cermin mata untuk anak-anak yatim atau penduduk-penduduk
kampung yang miskin.
- Memberikan
peruntukan-peruntukan bagi biasiswa atau penyelidikan untuk membantu remaja-remaja
yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan yang lebih tinggi.
- Membukakan
akaun simpanan bagi anak-anak yatim sebagai deposit untuk membeli rumah pada
masa depan agar akaun ini mencapai tahap yang mencukupi untuk pembelian rumah
ketika anak-anak yatim tersebut berumur 21 tahun.
- Syarikat-syarikat
telekomunikasi menawarkan pakej diskaun bagi telefon bimbit dan pager kepada
sukarelawan/wati sebagai satu promosi di mana korporat-korporat yang besar
memberikan penghargaan kepada para sukarelawan/wati.
- Menganjurkan
majlis makan malam amal atau acara lelongan bahan-bahan yang didermakan untuk
mengutip wang.
- Mendapatkan
pihak perniagaan membiayai pembikinan filem dokumentari atau laporan tentang
Hari Sukarelawan Antarabangsa atau tentang projek-projek sukarela.
- Persatuan
wanita menderma vitamin, makanan dan pakaian untuk balu-balu dan anak-anak
yatim.
- Syarikat-syarikat
farmasiutikal atau farmasi-farmasi menderma ubat-ubatan asas.
Bahagian
2: Mendokong Kesukarelaan
Pengiktirafan
- Memberi
hadiah, anugerah dan sijil untuk sukarelawan/wati dan langkah-langkah
solidariti.
- Mengadakan
“Upacara Pengiktirafan” untuk menganugerahkan “pingat-pingat khidmat sukarela”.
- Ketua
Kerajaan merasmikan sambutan-sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa.
- Wanita
Pertama atau pemimpin tinggi Kerajaan menyampaikan anugerah atau sijil kepada
organisasi-organisasi kesukarelaan yang layak.
- Merayakan
dengan “Majlis Khas Sukarelawan/wati” untuk menandakan pencapaian para
sukarelawan/wati.
- Mengeluarkan
buku atau laporan tentang sejarah kerja-kerja kesukarelaan dalam negara.
- Organisasi-organisasi
sukarela dan sukarelawan/wati menggunakan Hari Sukarelawan Antarabangsa untuk
mengembalikan komitmen (re-dedicate) diri mereka.
- Mengumumkan
dan mengiktiraf “Sukarelawan/wati Tahunan” dan menghargai “Organisasi Sukarela
Tahunan”.
- Membuat
dan mengiklankan senarai semua perkhidmatan yang tidak akan wujud jika tidak
kerana sumbangan para sukarelawan/wati.
Fasilitasi dan pengambilan
- Menubuhkan
pusat di peringkat kerajaan atau yayasan untuk mempromosi kesukarelaan.
- Mengadakan
pertemuan pengambilan sukarelawan/wati, sebaik-baiknya dengan dokongan media.
- Mengadakan
talian maklumat mengenai jenis-jenis aktiviti kesukarelaan dan peluang-peluang
untuk mengambil bahagian.
- Memulakan
kem atau khidmat latihan untuk para sukarelawan/wati.
- Mengadakan
bengkel-bengkel tentang khidmat kesukarelaan, pemindahan kemahiran, dll.
- Melancarkan
direktori kebangsaan tentang organisasi-organisasi sukarela.
- Menganjurkan
kempen “derma masa” di mana masyarakat mengikrarkan untuk berkhidmat secara
sukarela dalam projek-projek yang khusus.
- Menggantung
perhiasan-perhiasan pada pokok-pokok sebagai publisiti bagi masa yang telah
diluangkan oleh ahli-ahli komuniti untuk kerja-kerja kesukarelaan.
Fasilitasi – Sokongan Kerajaan
- Mengumumkan
perundangan yang bertujuan untuk memfasilitasi kesukarelaan.
- Menyediakan
mesej-mesej sokongan daripada pegawai-pegawai tinggi.
- Merekacipta focal
point peringkat kebangsaan untuk kerjasama antara
organisasi-organisasi sukarela dengan kerjaan.
- Menandatangani
kerangka-kerangka persetujuan antara struktur-struktur kerajaan dengan
organisasi-organisasi sukarela.
- Pihak
berkuasa pos mengeluarkan setem dan sampul khas bagi menandai dan merayakan kesukarelaan.
- Kerajaan
mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin masyarakat dari pelbagai agama,
etnik atau kepentingan untuk tujuan berkongsi pengalaman dan idea.
- Pegawai-pegawai
tinggi menerima kunjung hormat oleh pengarah-pengarah dan perwakilan-perwakilan
dari organisasi-organisasi sukarela dalam dan luar negara.
- Kementerian-kementerian
mendermakan bahan-bahan, atau wang untuk membeli bahan-bahan, untuk digunakan
dalam projek-projek dan aktivitri-aktiviti kesukarelaan.
- Menyiarkan
rencana-rencana khas yang berkaitan dengan kesukarelaan di dalam
buletin-buletin Kementerian.
- Kerajaan
menyokong kursus-kursus dalam kemahiran-kemahiran tertentu untuk para sukarelawan/wati.
- Menteri
mengirimkan kad-kad ucapan kepada para sukarelawan/wati negara yang berkhidmat
di luar negera, sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan, dan ini diberikan
liputan media.
- Menyediakan
sebidang tanah untuk ditanam dengan pokok-pokok di mana setiap pokok ialah
mewakili seorang sukarelawan/wati yang baru.
Jaringan
dan Pertukaran Pengalaman
- Mengadakan
persidangan atau simposium mengenai kesukarelaan dengan penyertaan organisasi-organisasi
sukarela, para sukarelawan/wati, wakil-wakil kerajaan, individu-individu yang
berminat, dll.
- Mengundang
sukarelawan/wati, wakil organisasi-organisasi sukarela, penyelidik-penyelidik
dan lain-lain dari negara-negara jiran untuk berkongsi pengalaman.
- Mengadakan
perbincangan meja-bulat.
- Menganjurkan
jamuan makan malam dengan cahaya lampu (yang didapatkan misalnya dari lampu
minyak daripada bahan-bahan kitar-semula) untuk bertukar atau berkongsi
pengalaman-pengalaman kesukarelaan.
- Menganjurkan
persembahan-persembahan atau kuliah-kuliah oleh sukarelawan/wati untuk
berkongsi pengalaman mereka secara in-formal di peringkat komuniti.
- Perbincangan-perbincangan
dan perjumpaan-perjumpaan di peringkat kampung.
- Hubungan
telefon dan video antara sukarelawan/wati di tempat-tempat yang berbeza.
- Menyelaraskan
sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa di peringkat serantau atau benua melalui
hubungan telefon dan video.
- Sarapan
“Jaringan Kesukarelaan”.
Promosi
- Menyiarkan
secara langsung ataupun rakaman temubual bersama para sukarelawan/wati di
televisyen atau radio.
- Menyiarkan
rencana-rencana tentang kesukarelaan sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa
dalam berita TV.
- Menyiarkan
program “Sehari dalam Kehidupan Seorang Sukarelawan/wati” di radio atau TV.
- Menyiarkan
secara langsung program-program dan kerja-kerja kesukarelaan melalui
stesyen-stesyen radio dan TV tempatan.
- Menyiarkan
klip/filem/dokumentari berkenaan kesukarelaan.
- Kanak-kanak
menemubual sukarelawan/wati di radio.
- Menyiarkan
diskusi panel tentang peranan kesukarelaan dalam masyarakat dan negara.
- Suratkhabar
menaja program-program kesukarelaan dengan memberi iklan percuma.
- Suratkhabar
menerbitkan rencana-rencana ataupun bahan-bahan tentang khidmat sukarela.
- Menghasilkan
video latihan tentang kesukarelaan.
- Menghasilkan
lagu atau jingle untuk mempromosi kerja-kerja kesukarelaan.
- Mendapatkan
pereka fesyen terkenal bagi merekacipta pakaian seragam untuk para
sukarelawan/wati
- Tokoh-tokoh
terkenal secara terbuka melibatkan diri dalam kesukarelaan.
- Tokoh-tokoh
terkenal membuat pengumuman-pengumuman tentang kesukarelaan.
- Mengadakan
sidang akhbar.
- Memuatkan
rencana-rencana tentang kesukarelaan di dalam jurnal-jurnal dan buletin-buletin
badan-badan seperti Pihak Berkuasa Sukan, Pengakap dan Pandu Puteri, Persatuan
Asrama Belia dan penerbitan-penerbitan oleh kementerian-kementerian Kerajaan.
- Membawa
para wartawan melawat projek-projek pembangunan.
- Menampal
poster-poster dan kain-kain rentang di jalan, sekolah, universiti, lapangan
terbang, dll.
- Mendirikan
papan kenyataan di tepi-tepi jalan tentang Hari Sukarelawan Antarabangsa dan
kerja-kerja kesukarelaan.
- PBB
dan Pusat-pusat Penerangan Kerajaan membuat siaran-siaran akhbar pada hari-hari
menjelang Hari Sukarelawan Antarabangsa.
- Menganjurkan
pertandingan “Projek Kesukarelaan Terbaik”.
- Menganjurkan
pertandingan menggubah lagu rasmi kesukarelaan.
Penerangan
- Mengadakan
pameran tentang kerja-kerja sukarela di perpustakaan, pusat kebudayaan dan
komuniti, universiti dan lain-lain
- Mengadakan
sesi-sesi penerangan yang mendapat publisiti yang baik tentang khidmat
sukarela.
- Organisasi-organisasi
sukarela mengadakan “hari terbuka” atau “minggu organisasi sukarela” di
universiti.
- Menganjurkan
pameran fotografi tentang langkah-langkah kesukarelaan.
Menggalakkan Sukarelawan/wati Masa
Depan: Kanak-kanak dan Belia
- Mengadakan
pertandingan menulis esei peringkat sekolah berkenaan kesukarelaan atau atas
tajuk “Apakah yang boleh saya lakukan untuk menjadikan kampung saya, tempat
tinggal saya, menjadi tempat yang lebih baik”.
- Kanak-kanak
melukis “visi untuk dunia yang lebih baik” dan merekacipta poster-poster.
- Menganjurkan
pertandingan bercerita di kalangan kanak-kanak untuk mempromosi idea-idea
kesukarelaan.
Bahagian
3: Sambutan
Budaya dan Rekreasi
- Menganjurkan
aktiviti-aktiviti sukan dan permainan (tarik tali, badminton, dll.).
- Menyambut
pesta kebudayaan, muzik, tarian dan makanan tempatan.
- Menganjurkan
pameran lukisan yang dihasilkan oleh para sukarelawan/wati.
- Menyediakan
persembahan teater, hiburan muzikal, koir dan konsert yang popular.
- Menganjurkan
program kesusasteraan (baca puisi, baca cerpen yang diiringi dengan
pertunjukan slide, dll.).
- Pertandingan-pertandingan
poster, kraftangan dan lukisan.
- Perarakan-perarakan.
- “Berjalan
untuk Keamanan” yang mungkin melibatkan kutipan derma melalui penajaan per
kilometer.
- Menganjurkan
permainan-permainan bersama kanak-kanak.
- Membentuk
“Jaringan Persahabatan Antarabangsa” (dengan berpegangan tangan sambil dijulang
tinggi).
- Mengambil
gambar kanak-kanak sedang membuat bentuk susunan huruf “S” (untuk
sukarela) untuk dijadikan gambar peringatan.
- Menganjurkan
tayangan filem.
- Melepaskan
belon.
- Mengambil
bahagian di dalam larian maraton.
- Mengadakan
sambutan dengan perkelahan.
- Mengadakan
majlis keagamaan untuk menghargai kesukarelaan peringkat tempatan dan untuk
menggalakkannya
lagi.
ConversionConversion EmoticonEmoticon