DEDIKASI UNTUK CIKO (KUCING KESAYANGAN ) KEMATIAN PADA 24 JANUARI 2018


IZINKAN KU PERGI…
CIKO 24 Jan 2018 (5.35 pagi)

 


Setelah kehilangan ibu, seperti gelandangan yang lain aku merayau-rayau mencari sisa makanan sebagai alas perut. Ketika itu, aku masih kecil (saiz segengam buku lima manusia dewasa). Aku sering menyorok di balik longkang apabila ada gangguan daripada kucing gelandangan yang lain.

Suatu malam sekitar hujung bulan Julai 2017..minggu Syawal 1438; kelihatan seorang manusia lelaki sedang menolak motor kerana tayar bocor berjalan meredah malam. Desakan lapar mendorongku berjalan ke arah manusia itu sambil mengiaw..Dia telah mengangkatku dan cuba mencari – cari sesuatu sekitar kawasan itu (hadapan sebuah klinik). 

“tak payah cari..aku tiada mempunyai sesiapa lagi…” bisik hatiku.

Aku dimasukkan ke dalam bakul motosikal dan ditolak ke rumahnya, sekitar 100 meter dari situ. Aku rasa selesa dan selamat…mungkin ada sesuatu dapat ku jamah.


Kehadiran ku disambut mesra oleh isterinya…yang memujiku kecil molek dan comel. Aku diberikan minum susu dan ikan rebus. Aku rasa sangat selamat dan selesa.



Bermulanya kehidupan di rumah itu, aku gelarkan mereka sebagai ayah dan ibu. Mereka famili aku. Perkara pertama yang diajarkan oleh ayah adalah membuang air di tempat berpasir yang disediakan. Aku berjaya lakukan ...aku akan berlari pantas dan melanggar apa sahaja untuk ke tandas itu. Selepas “melepas”, aku pasti dicuci dengan bersih dengan tisu basah..memang cuba nak lari tapi pasti dikejari..hihi.



Aku diberikan layanan istimewa oleh mereka. Setiap hari aku menikmati ikan kembung rebus… famili ini pernah memelihara kucing gelandangan seperti aku sebelum ini..jadi peralatan boleh digunapakai. Tapi semua telah kembali…


Pernah sekali aku sakit (demam), aku dibawa ke klinik haiwan di Jitra untuk mendapat rawatan cacing dan sebagainya. Aku dijagai dengan penuh istimewa. Sejak hari itu, aku sangat menyayangi famili ku. Tiada ucapan yang dapat ku nyatakan..hanya memejam mata lembut ketika mereka “bersembang” denganku.

Aku kelihatan biasa seperti kucing – kucing gelandangan lain. Cumanya aku tidak pernah mengiaw – giaw untuk meminta makan atau  “meleset-leset” (melagakan diri dan kepala kepada tuanku). Pernah beberapa kali kerana sikap diam diri ini..memaksa ibu ayah mencari-cari aku seluruh rumah sehinggakan ayah meronda mencari aku sekitar pekan. Aku tertidur di dalam laci kabinet …aku gemarkan lokasi yang adventure dan meneroka setiap sudut di dalam rumah ini.

Setiap hari aku menunggu ibu pulang dari bekerja di hadapan pintu untuk menikmati ikan rebus dan ayah pulang untuk bermain. Aku sangat aktif dan suka bermain dan “menikus”. Sebarang benda yang bergerak di dalam rumah ini, pasti menjadi mangsa. Terdapat banyak mainan dan kotak-kotak sebagai mainan ku.

Selain itu, aku mempunyai rakan-rakan iaitu Luna, Maya dan Karin (ikan laga/ karin) yang menemani ku ketika ibu dan ayah bekerja. Aku akan cuba meraba-raba mereka di luar balang atau adakalanya kenakalanku akan menggagau hingga ke dalam air. Aku akan tidur bersebelahan mereka ketika kesunyian. Aku perlu teman..



Ketika anak-anak ayah ibu pulang bercuti (Along dan Adik) aku berpeluang bermain dengan mereka. Mereka sering mengomol-gomol badan ku yang kelihatan membesar dan memiliki bulu yang gebu ini. Mereka suka bermain-main denganku dengan panggilan baru abdul ciko. Cikgu ayu…adalah antara perbuatan yang membuai-buaikan sambil  menggoyang-goyangkan badan aku . Aku suka dilakukan seperti ini.


Hari – hari bersama famili ini amat aku gemari..
 Aku pernah tiga kali dibawa ke Terengganu (rumah keluarga ibu). Perjalanan lebih tujuh jam tu..aku tidur nyenyak di ribaan ibu. Ibu akan menyelimutku dengan kain batik sambil mengusap-usapku. Ada kalanya ayah akan mengusapku sambil memandu. Aku langsung tiada kerenah sepanjang perjalanan ini…aku hanya tidur dan tidur…dengan alunan muzik lembut dan hawa dingin.

Adakalanya, aku tidak berpeluang bersama familiku…maka aku ditempatkan di rumah Bok(kakak ayah). Di situ aku tinggal bersama Bok dan Bang Demang. Mereka juga melayan aku dengan baik. Rumah Bok banyak lokasi yang lebih adventure dan tempat aku untuk bermain dan menyorok. Aku diberi makan dengan sempurna..cumanya aku tidak dibenarkan keluar rumah ; kata Bok ada “geng jahat” (kucing garang) di luar sana. Apabila sesiapa yang  memarahiku, aku pasti akan merebahkan badan dan kepala serta mendiamkan diri..merajuklah..haha.



Keluar rumah(outing) .. aku langsung memang tidak berpeluang..risau terkena jangkitan penyakit dan kekotoran, kata ayah. Outing adalah hari istimewaku. Paling best aku berpeluang outing di dusun ayah. Aku berpeluang berlari-lari menangkap belalang, kupu-kupu dan memanjat pohon-pohon durian dan rambutan. Memang pernah sekali aku tercungap-cungap keletihan melampau. Ibu ayah akan mentertawakan telatahku.

Selepas outing..acara wajib adalah aku akan dimandikan. Perkara paling aku tidak suka..aku akan mengiaw-giaw dengan kuat tanda protes..aku dibersihkan dengan mandian khas. Ayahlah yang akan memandikanku. Tapi, aku tidak menggelepar atau lari..cuma aku akan cuba memanjat ke tubuh ayah sambil mengiaw marah. Lepas mandi aku akan diselimutkan dengan tuala dan diserahkan kepada ibu untuk dipelukkan dengan kain batik…aku rasa disayangi. Kebersihan badanku terus dipelihara.

 Hari berganti hari dan bulan silih berganti.. Aku membesar seperti biasa. Keaktifan masih seperti dulu…aku memang suka bermain. Aku cuba mengajak ayah ibu dan adik untuk bermain . Aku akan menangkap kaki mereka dan berlari ke kotakku..supaya mereka mengikutku ke kotak dan aku akan mengawal kawasan kotakku. Apabila mereka menyentuh, pasti aku akan menangkap dan menggigit manja. Sian ayah.. kedua belah lengannya pasti ada garisan jalur luka kesan cakaran dan gigitan ku. Tapi ayah kelihatan tidak kisah…dan akan terus bermain.

Aku semakin dewasa. Kuku jariku memang dipotong supaya tidak tajam. Memanglah perabot kerusi menjadi medan cakaranku. Ibu akan menyelimut semua perabotnya dengan kain supaya aku tidak berpeluang untuk mencakar. Namun disediakan tikar khas untuk aku main cakar.

Aku perlu teman…adakala familiku tidak mampu menghiburkan ku. Adakala aku mengajak mereka untuk bermain..namun kesibukan mereka dan ditinggalkan di rumah, rasa sunyi mulai terasa. Masa aku dihabiskan dengan tidur dan mujurlah Luna Maya Karin masih setia.
Pernah beberapa ekor kucing yang datang lepak di rumahku. Aku hanya memerhati di balik cermin pintu. Aku setia menanti..siang dan malam..mungkin suatu hari aku berpeluang untuk mempunyai  teman. 

Aku pernah diberi peluang untuk outing di luar rumah..ibu melepaskan aku. Peluang ini aku dapat berjumpa teman di luar. Tidak lama, selepas itu…teman meninggalkanku.. aku kembali ke pangkuan famili dan meneruskan kehidupan seperti biasa. 

 Ibu pernah memaklumkan kepada ayah yang aku perlu teman. Menurut ayah, belum menemui calon teman yang sesuai. Ibu tidak akan “kasi” aku kerana menurut ibu perbuatan itu tidak baik.  November 2017, aku tidak risau dengan teman kerana adik cuti tunggu SPM dan bersamaku…aku tidak terasa sunyi ketika ayah ibu tiada di rumah.



Pada 22 Januari 2018, badanku mulai rasa letih aku menjadi kerap tidur..namun kesukaan ku untuk bermain dengan keluargaku masih diteruskan. Aku mulai tidak menjamah makanan.. Makanan kegemaranku tidak disentuh. Aku kerap muntah dan tidur  menyendiri. Perubahan ini disedari oleh familiku. Aku diberikan makan melalui picagari dan sudu.

Keesokkannya, aku dibawa oleh ibu dan adik ke klinik haiwan. Aku diberikan ubat cacing dan suntikan. Aku masih tidur keletihan. Aku hanya gerak-gerakkan mata apabila ayah ibu cuba bersembang denganku.

Tanggal 24 Januari 2018, jam 5.33 pagi..aku batuk dengan kuat dan mengejutkan ayah ibu. Aku muntah hijau dan menggelepar-lepar. Ibu tidak sanggup melihatku. Ibu menangis teresak-esak melihat keadaanku. Ayah mengusap-usap dan berlenangan air mata memanggil namaku…aku telah kembali pada jam 5.35 pagi. Aku masih berpeluang melihat ayah ibu sebelum aku meninggalkan mereka. 

Aku diselimutkan dengan kain batik dan diletakkan dengan tertib di dalam beg kertas.

Pada pagi itu juga, famili ku membuang segala mainan , makanan dan lain-lain yang berkaitan denganku. Aku sedar mereka tidak ingin sedih mengingatkanku. 

Ibu, 
Aku tidak dapat lagi bersama-samamu untuk  menonton filem Korea, baring disisimu ketika dikau letih pulang bekerja. Maafkanlah kerana keghairahanku menangkap-nangkap objek gambar di skrin TV dan skrin telefonmu.

Ayah,
Aku tidak lagi menemanimu bermotosikal untuk kusaksikan rakan-rakan gelandangan yang lain, tidak dapat bersamamu di sisi tika dikau solat serta menanti di pintu menunggu kehadiranmu pulang. Moga cakaran dan gigitan di lenganmu segera sembuh.

Along dan adik,
Kalian tidak perlu lagi risau..aku tidak akan  menggigit manja kalian ketika  membantu ayah  mengejutkan solat subuh. 

Terima kasih ibu, ayah, along, adik dan lain-lain kerana telah menemaniku di alam fana ini.

Aku disemadikan oleh adik di hadapan dusun , lokasi outing paling aku sukai. 

Izinkan aku pergi…

CIKO


Catatan :

Famili penulis terasa sangat sedih di atas kematian Ciko. Walaupun nostalgia ini sekadar pengalaman biasa, namun hubungan emosi yang sangat kuat antara manusia dan kucing sehinggalah menjadikan Ciko adalah sebahagian famili ini.

24 Jan 2018. 10.15 pagi.
Previous
Next Post »