teks ucapan majlis perasmian program anak angkat 2014 kmk bersama masyarakat

TEKS UCAPAN
MAJLIS PELANCARAN PROGRAM MATRIKULASI BERSAMA MASYARAKAT 2014
KOLEJ MATRIKULASI KEDAH, KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
OLEH PENGARAH KMK

Tarikh
:
09 Oktober 2014( Khamis)
Masa
:
11.30 pagi
Tempat
:
Dewan Felda Batu 8


1
Yang Berhormat dan sidang hadirin yang dihormati sekalian,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah 116 pelajar kerana terpilih sebagai peserta daripada antara ribuan pelajar yang berada di KMK untuk menyertai Program Anak Angkat ini.
Anda seharusnya berbangga kerana dapat menyertai program yang bertujuan menyemai perpaduan melalui proses silang budaya yang julung kali diadakan. Melalui program sebegini, para pelajar dapat mengalami dan melalui sendiri kehidupan serta situasi yang berbeza bersama-sama keluarga angkat masing-masing.

2
Di antara objektif utama program ini adalah
1. Mengeratkan silaturrahim di antara pelajar KMK dengan masyarakat luar, khususnya mempromosikan matrikulasi sebagai destinasi popular.
2. Menimba dan mendapatkan maklumat secara terus berkaitan potensi dan prospek kerjaya pada masa depan.
3. Mendedahkan program matrikulasi kepada masyarakat agar menarik lebih ramai pelajar mengikuti program matrikulasi
Program matrikulasi merupakan program pengajian secara fast track atau laluan pantas untuk para pelajar lepasan SPM sebelum membuat ijazah ke universiti di dalam dan luar negara. Mereka masuk ke matrikulasi pada bulan Mei 2014 dan akan tamat pengajian pada bulan April 2015. Selepas itu akan ke universiti.
3
Kita sedar, salah satu matlamat falsafah pendidikan negara adalah untuk membentuk pelajar sebagai insan yang seimbang dan harmonis. Ciri-ciri insan yang seimbang dan harmonis ialah insan yang memiliki dan menghayati ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, berpegang teguh kepada agama, berbudaya penyayang, sihat dan cergas serta dapat bekerjasama dengan orang lain. Justeru program hari ini diharapkan dapat membuka minda pelajar untuk memiliki kesedaran dan keprihatinan kepada perkara yang menjadi tuntutan tersebut.
4
Pihak kolej sedar bahawa kecemerlangan seseorang pelajar tidak sahaja diukur dari segi pencapaian cemerlangnya dalam bidang akademik semata-mata tetapi mereka juga perlu mempunyai keperibadian yang berhemah. Ini kerana pelajar adalah modal insan yang dibina oleh negara untuk mencapai kejayaan bangsa dan negara. Mereka akan menjadi tenaga kerja yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing dan berdaya juang. Melalui program anak angkat ini usaha untuk membina tenaga kerja yang berkualiti dari segi aspek sikap dan nilai-nilai murni akan dapat diwujudkan. Kesedaran berkaitan tanggungjawab kepada masyarakat akan menyedarkan mereka untuk tidak sahaja mengejar kepada pembangunan semata-mata tetapi juga perlu menerapkan nilai-nilai murni terutama amanah, jujur dan bermuafakat yang sentiasa menjadi amalan penduduk desa.

5
Para pelajar perlu didedahkan kepada suasana kehidupan bermasyarakat supaya mereka benar-benar dapat menyelami realiti kehidupan dan tidak terbelenggu dengan suasana pembelajaran di kolej sahaja.

6
Semoga pelajar sekalian mempelajari erti kesabaran dan ketabahan, serta makna pengorbanan dan keinsafan dengan menghormati dan menerima perbezaan yang wujud antara kita seadanya. Saya menaruh harapan yang tinggi agar para  pelajar sekalian juga mampu menjadi orang yang berjasa kerana “Hidup kayu berbuah; hidup manusia biarlah berjasa”.

7
Saya juga berharap agar pengalaman yang akan dikutip tidak akan dipersia-siakan sebaliknya dimanfaatkan segala yang telah dipelajari, dialami dan diperoleh sebaik mungkin. Hasilnya, pemikiran kita akan lebih terbuka, mempunya sikap toleransi yang tinggi, berusaha untuk saling memahami serta menghormati walaupun terdapat perbezaan amalan, kepercayaan, identiti dan juga nilai kehidupan.
8
Pesanan saya buat 32 buah keluarga angkat dan pelajar sekalian, agar jalinan yang wujud usah dibiarkan berlalu begitu sahaja. Teruskan hubungan ini sampai bila-bila. Jejaki anak angkat yang berada dihadapan saya ini bagi memastikan para pelajar mampu menjadi pemimpin yang akan mentadbir negara pada masa akan datang.

8
Program ini yang berkonsepkan keluarga angkat sudah tentu akan banyak memberi kenangan kepada pelajar dan keluarga angkat masing-masing. Kepada keluarga angkat yang sudi menerima anak -anak saya ini, kalau ada perlakuan mereka yang salah dan tak senang mata memandang, mohon-mohonlah agar dimaafkan dan ditegur.
 Anggaplah mereka ini sebagai anak yang sentiasa dahagakan teguran seperti kata pantun Melayu,
“Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, mereka budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan,
“suasana kampung indah dan tenang, saling muafakat hormat-menghormati, baik budimu tuan akan kukenang, termetri dihati tersimpul mati”.

9
Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Hj  Badrol Hisham Bin Hashim  , Dato Shamsuddin, pemimpin – pemimpin masyarakat  dan semua penduduk Perkampungan Felda Batu 8 di atas setiap bantuan dan sokongan serta kerjasama yang telah diberikan sepanjang program ini berlangsung. Tanpa sokongan dan kerjasama yang harmonis ini sudah pastinya program ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
10
Sekian, wabillah..


Previous
Next Post »