PUNCA KEMATIAN
MENGEJUT
DAN BANTUAN CPR
DAN BANTUAN CPR
Bagi mengupas lebih lanjut
mengenai isu kematian mengejut ketika bersukan ini, ikuti temu bual yang
dilakukan oleh wartawan Kosmo! Ahad, ROSLI HASSAN bersama
Pengurus Jabatan Kecemasan
Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Farina Mohd. Salleh di pejabatnya di Jalan
Tun Razak, Kuala Lumpur.
KOSMO! AHAD: Apakah punca utama
kematian mengejut yang berlaku semasa seseorang itu sedang bersukan?
DR. FARINA: Punca utama kematian
mengejut terutamanya dalam masyarakat pertengahan umur dan warga emas yang
bersukan adalah disebabkan serangan jantung akibat daripada salur
darah koronari jantung yang tersumbat sama ada menjadi sempit atau tersumbat
sepenuhnya.
Semasa bersukan, paru-paru dan
otot memerlukan oksigen yang lebih daripada kebiasaannya. Disebabkan salur
darah koronari jantung tersumbat, jantung gagal mengepam darah beroksigen
secukupnya sehingga boleh menyebabkan seseorang itu sesak nafas dan akhirnya
mati mengejut.
Terdapat juga kemungkinan
seseorang yang sedang bersukan itu mati mengejut akibat penyakit asma, namun ia
jarang berlaku jika hendak dibandingkan dengan mati mengejut akibat serangan
jantung.
Apakah tanda-tanda seseorang itu
mengalami serangan jantung ketika bersukan?
Serangan jantung ketika bersukan
boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur dan usia muda
bukanlah jaminan seseorang itu selamat daripada risiko mati mengejut ketika
bersukan.
Terdapat beberapa tanda seseorang
itu mengalami serangan jantung ketika bersukan. Salah satu tanda berkenaan
ialah rasa mencengkam dan menyucuk-nyucuk pada bahagian dada terutamanya di
tengah-tengah atau sebelah kiri dada.
Ramai yang tersalah anggap rasa
sakit pada tengah dada adalah akibat sakit pedih hulu hati sedangkan ia
sebenarnya adalah akibat serangan jantung.
Selain itu, seseorang itu juga
akan mengalami kesukaran hendak bernafas, berpeluh dengan banyak selain degupan
jantung yang laju atau tidak sekata.
Terdapat sesetengah individu
turut berasa berdebar dan bimbang tanpa sebab sebelum mengalami serangan
jantung.
Mereka yang mengalami serangan
jantung juga akan berasa sakit serta kebas pada bahagian tangan kiri selain
berasa pening dan terasa seperti hendak pitam sebelum akhirnya tidak sedarkan
diri.
Boleh doktor jelaskan tindakan
yang perlu diambil sekiranya seseorang mengalami tanda-tanda serangan jantung
ketika bersukan.
Sekiranya seseorang yang sedang
bersukan mengalami tanda-tanda sebegini, pertama sekali apa yang mereka
perlukan lakukan adalah berhenti dan berehat daripada menjalani aktiviti sukan
berkenaan dengan segera.
Jangan terlampau teruja untuk
terus bermain dan memaksa diri walaupun selepas mengalami tanda-tanda serangan
jantung ini sehingga mendedahkan diri kepada risiko mati mengejut akibat
serangan jantung.
Sekiranya tanda-tanda ini tidak
hilang selepas berehat, mereka perlu segera ke hospital untuk mendapatkan
rawatan dan menjalani pemeriksaan kesihatan dan bukannya ke klinik-klinik
swasta.
Jangan pulang ke rumah untuk
mandi atau menukar pakaian terlebih dahulu sebaliknya terus pergi ke hospital
secepat mungkin. Jangan pandu sendiri kereta sebaliknya minta orang lain untuk
menghantar kita ke hospital.
Selain itu, sekiranya seseorang
itu didapati tidak sedarkan diri ketika bersukan, orang ramai perlu memberikan
bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dengan segera sebelum dibawa segera ke
hospital.
Bantuan kecemasan ini mampu
meningkatkan peluang seseorang itu untuk hidup daripada dibiarkan begitu sahaja
sementara menunggu ambulans tiba.
Apakah langkah-langkah yang perlu
diambil sebelum seseorang itu menyertai aktiviti lasak atau bersukan?
Individu yang aktif dalam
aktiviti sukan lasak atau berintensiti tinggi seperti badminton dan futsal
digalakkan menjalani sesi pemeriksaan kesihatan secara berkala iaitu
sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi mereka yang tidak mempunyai penyakit
atau setahun sekali bagi mereka yang menghidap penyakit seperti kencing manis
dan tekanan darah tinggi.
IJN juga ada menawarkan Pakej
Kecergasan Atlet kepada orang ramai bagi memastikan seseorang itu selamat
ketika bersukan.
Pemeriksaan kesihatan ini dapat
mengelakkan sebarang risiko kesihatan tidak dijangka seperti serangan jantung
yang kemungkinan berlaku ketika bersukan terutamanya bagi mereka yang telah
lama tidak aktif bersukan.
Walaupun individu yang gemar
bersukan biasanya mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding yang
tidak aktif bersukan, mereka tidak semestinya bebas daripada penyakit jantung.
Mereka yang mempunyai sejarah
ahli keluarga yang mengalami penyakit jantung berkemungkinan lebih tinggi untuk
menghidap penyakit jantung tanpa mereka sedari.
Bagi mereka yang telah lama tidak
aktif bersukan, tingkatkan aktiviti fizikal dengan bersukan secara sederhana
terlebih dahulu.
Amalkan juga cara hidup yang
sihat dengan tidak merokok selain mengamalkan pemakanan sihat.
Mereka yang mati mengejut
kebanyakannya didapati terlibat dalam sukan badminton dan futsal. Adakah sukan
ini mendatangkan risiko serangan jantung yang yang lebih tinggi berbanding sukan
lain?
Sebenarnya semua aktiviti lasak
seperti mendaki gunung dan sukan berintensiti tinggi seperti badminton, futsal,
skuasy dan maraton boleh menyebabkan jantung berdegup dengan kadar yang lebih
laju sekali gus meningkatkan risiko serangan jantung.
Bagaimanapun, disebabkan
badminton dan futsal merupakan antara sukan kegemaran masyarakat di negara ini,
maka bilangan mereka yang mati mengejut ketika bermain kedua-dua sukan ini
adalah lebih tinggi berbanding sukan-sukan lain.
Ramai yang mendakwa melakukan
aktiviti sukan pada waktu malam juga meningkat risiko serangan jantung. Dakwaan
ini adalah tidak benar. Apa yang sebenarnya berlaku ialah masyarakat di negara
ini lebih gemar bersukan pada waktu malam kerana keadaan suhunya yang lebih
sejuk selain kesibukan bekerja pada waktu siang.
Disebabkan itu, ia hanyalah
secara kebetulan kebanyakan kes mati mengejut berlaku pada waktu malam.
Adakah seseorang yang menyertai
aktiviti lasak dan sukan berintensiti tinggi perlu memantau kadar degupan
jantung mereka?
Mereka yang melakukan aktiviti
lasak dan sukan berintensiti tinggi dinasihatkan memantau kadar degupan jantung
masing-masing menerusi jam pintar yang dipakai pada tangan.
Kadar degupan jantung normal
adalah 60 hingga 100 kali seminit, manakala atlet sukan mempunyai kadar degupan
jantung sekitar 50 kali seminit.
Ketika sedang melakukan aktiviti
lasak atau bersukan, kadar degupan jantung akan meningkat sekitar 130 kali
seminit bagi mengepam darah beroksigen yang diperlukan otot dan paru-paru.
Kadar degupan jantung seseorang
yang bersenam atau bersukan sepatutnya berada pada kadar 50 peratus hingga 80
peratus kadar degupan jantung maksimum.
Kadar degupan jantung maksimum
dikira menerusi kaedah 220 tolak umur. Sebagai contoh, seseorang yang berumur
40 tahun mempunyai kadar degupan jantung maksimum 180 kali seminit.
Ketika bersenam, dia perlu
mengawal kadar degupan jantung pada kadar 50 peratus hingga 80 peratus kadar
daripada 180. Ini bermakna, kadar degupan jantungnya perlu berada antara 90
kali seminit hingga 144 kali seminit.
Jangan melebihi kadar degupan
jantung ini kerana ia boleh meningkatkan risiko serangan jantung hingga
akhirnya menyebabkan mati mengejut
ConversionConversion EmoticonEmoticon