ON CAMPUS COMMUNITY ENGAGEMENT (ONCE) : TAJUK CERAMAH CBRNe PADA 3 NOV 2018 DI DKG 3/1 UUM

 CBRNe : 
Satu Cabaran Masa Kini

UCAPAN PENYELARAS

PENYELARAS BERSAMA
BARISAN JURULATIH UNIT PERTOLONGAN CEMAS


PENGISIAN CERAMAH OLEH 

EN AHMAD NAUFAL BIN ABDULLAH
JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT
ALOR SETAR, KEDAH










 
Penyelaras menyampaikan cenderamata 
kepada Penceramah


Sumber tambahan selain daripada penceramah
CBRNe merupakan singkatan kepada bahan kimia (C = Chemical), bahan biologi (B = Biological), bahan radioaktif (R = Radioactive), bahan nuklear (N = Nuclear) dan bahan letupan (E = Explosive). CBRNE adalah lima jenis bahan yang sinonim dengan serangan pengganas. Secara umumnya ia merupakan bahan yang akan digunakan oleh pengganas untuk melakukan ancaman sama ada dalam bentuk kemusnahan fizikal atau psikologi.
CBRNE boleh menjadi bahan senjata atau bahan bukan senjata. CBRNE sebagai bahan senjata terdapat di dalam bentuk bom konvensional, kombinasi bahan letupan dan senjata letupan yang telah diubahsuai. Manakala, CBRNE sebagai bahan bukan senjata juga dikenali sebagai barang berbahaya atau bahan berbahaya yang boleh terdiri dari bahan makanan, ternakan serta tanaman yang tercemar. Kedua-dua bentuk CBRNE ini mempunyai persamaan iaitu ia boleh menjadi ancaman berbahaya dan menyebabkan kematian serta kerosakan di dalam jumlah yang besar.
Definisi terma CBRNE dibahagikan berdasarkan kesan yang ingin dicapai oleh pengganas. CBRNE adalah agen pemusnah berskala besar apabila ia menyebabkan kemusnahan besar-besaran terhadap manusia, harta benda dan persekitaran. Walau bagaimanapun, tidak semua insiden CBRNE akan menyebabkan kemusnahan besar-besaran. Apabila kesan CBRNE melibatkan jumlah kematian yang kecil tetapi mencetuskan ketakutan dan melumpuhkan fungsi komuniti, CBRNE akan dikenali sebagai agen gangguan besar-besaran.
Organisasi Kesihatan Sedunia mendefinisikan insiden yang melibatkan penggunaan CBRNE sebagai penggunaan mikroorganisma, toksin, bahan genetik, bahan radioaktif atau bahan kimia dengan tujuan untuk menyebabkan kematian atau penyakit terhadap manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan. Kelima-lima jenis bahan ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam seperti di bawah.
Bahan Kimia
Bahan kimia yang berbahaya akan diklasifikasikan sebagai senjata bahan kimia apabila ia digunakan untuk tujuan keganasan dan memberikan kesan toksik terhadap manusia. Kesan toksik ini termasuklah kematian, bahaya kekal dan ketidakupayaan sementara.
Terdapat pelbagai jenis bahan kimia yang boleh digunakan untuk melakukan serangan keganasan. Bahan kimia ini boleh dikelaskan berdasarkan kesan terhadap tubuh manusia dan tahap kesan yang dihasilkan.
Pengkelasan berdasarkan kesan terhadap tubuh manusia biasanya dilakukan mengikut sistem organ primer yang terjejas akibat pendedahan kepada bahan kimia. Bahan kimia ini biasanya dikelaskan kepada agen sistem saraf, agen sistem pernafasan, agen sistem darah serta agen kulit tubuh. Penerangan mengenai setiap pengkelasan berdasarkan kesan terhadap tubuh manusia adalah seperti di bawah:
 1.       Agen sistem saraf biasa digunakan dalam bentuk gas seperti gas sarin. Ia memasuki sistem badan melalui kulit serta paru-paru.
   2.    Agen sistem pernafasan digunakan untuk menghasilkan kesan yang akan melumpuhkan fungsi paru-paru. Contoh agen kimia yang memberi kesan kepada sistem pernafasan manusia adalah seperti klorin dan phosgene.
    3.    Agen sistem darah yang biasa digunakan dalam serangan kimia adalah hydrogen cyanide. Bahan ini boleh melumpuhkan peredaran oksigen di dalam darah dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.
     4.    Agen kulit tubuh adalah bahan kimia yang boleh mendatangkan kesan merengsa dan menghakis kulit seperti gas mustard. Sesetengah agen sistem saraf juga boleh menyebabkan kerosakan pada kulit, memasuki sistem badan dan seterusnya memberi kesan kepada sistem saraf di dalam badan.
Pengkelasan kedua bagi bahan kimia adalah mengikut tahap kesan yang dihasilkan. Terdapat tiga kesan utama iaitu menyebabkan ketidakselesaan, ketidakupayaan dan maut. Walau bagaimanapun, kesan bahan kimia adalah bergantung kepada dos yang diterima dan tahap kesihatan mangsa.
Bahan Biologi
Bahan biologi dikategorikan sebagai senjata apabila ia mencapai tujuan utamanya iaitu untuk menjangkiti dan menyebabkan penyakit kepada manusia. Cara penggunaan bahan biologi sebagai senjata biasanya melibatkan pencemaran makanan dan minuman dengan bahan berjangkit, penggunaan mikroorganisma, toksin atau haiwan dalam sistem senjata dan fabrik yang telah dicemari dengan agen biologi.
Bahan biologi yang digunakan sebagai alat pemusnah mempunyai ciri unik iaitu boleh membiak di dalam tubuh badan manusia dalam tempoh tertentu sehingga menyebabkan kematian. Senjata biologi mempunyai ciri-ciri spesifik seperti keupayaan untuk menyebabkan jangkitan penyakit, keupayaan untuk membiak serta bermandiri dalam kadar yang cepat, keupayaan untuk hidup dalam pelbagai persekitaran dan keupayaan menyebabkan kematian walaupun dalam kuantiti yang kecil.
Bahan biologi yang sering digunakan terdiri dari dua jenis utama iaitu patogen dan toksin. Patogen pula terbahagi kepada organisma yang boleh menyebabkan penyakit seperti bakteria, virus, dan rickettsiae.
Bakteria merupakan mikroorganisma yang terdiri dari satu sel yang boleh membiak dengan pantas di dalam badan manusia dan boleh dihasilkan dengan mudah di dalam kemudahan makmal. Kebolehan untuk menghasilkan bakteria di dalam kuantiti yang banyak secara komersial membolehkan ia menjadi senjata biologi yang sesuai.  Berikut adalah contoh bakteria yang berpotensi menjadi senjata biologi: Bacillus anthracis (anthrax), Brucella (brucellosis), Corynebacterium diphtheriae (diphteria), Burkholderia mallei (glanders), Burkholderia pseudomallei (melioidosis).
Virus merupakan mikroorganisma yang terdiri daripada bahan genetik yang dikelilingi oleh bahan protein. Virus tidak boleh membiak dengan sendirinya dan ia memerlukan sel tuan rumah untuk membiak. Contoh virus adalah seperti virus ebola, hepatitis, variola, dan influenza.
Rickettsiae merupakan organisma yang mempunyai saiz yang lebih kecil dari bakteria dan keupayaan membiak yang rendah. Organisma ini memerlukan sel tuan rumah untuk membiak. Contoh organisma ini adalah seperti Coxiella burnetii (Q fever), Bartonella quintana (trench fever), Rickettsia prowazekii (typhus) dan Rrickettsia rickettsii (Rocky Mountain Spotted Fever).
Manakala toksin merupakan bahan beracun yang dihasilkan oleh organisma hidup dan di dalam kuantiti yang kecil boleh menyebabkan kematian dalam jumlah yang besar. Toksin dihasilkan oleh mikroorganisma atau haiwan seperti labah-labah atau dari tumbuhan. Toksin yang dihasilkan oleh tumbuhan juga dikenali sebagai mikotoksin. Contoh toksin yang pernah digunakan untuk tujuan serangan keganasan adalah seperti botulinium toxin, ricin, saxitoxin, tricothecene mycotoxins dan staphylococcal enterotoxin B.

Bahan Radioaktif
Bahan radioaktif wujud dalam pelbagai bentuk yang berbeza. Secara umumnya, ia bukanlah bahan yang berbahaya kerana penggunaan bahan ini sentiasa dikawal. Namun, perkembangan teknologi dan peningkatan ekonomi telah memberikan peluang kepada penggunaan bahan radioaktif dalam penghasilan senjata. Penggunaan bahan senjata radioaktif oleh pengganas adalah satu situasi yang membimbangkan kerana kesan penggunaan bahan ini adalah sangat merbahaya. Penyebaran bahan ini adalah cepat dan ia memberi kesan bukan sahaja kepada seorang individu malah seluruh negara yang terlibat.
Contoh utama penggunaan senjata bahan radioaktif ialah sebagai dirty bomb atau Radiological Dispersal Device (RDD) dan radiation emitting device (RED). Radiological Dispersal Device (RDD) adalah senjata yang menyebarkan bahan radioaktif. Apabila RDD digunakan, ia menghasilkan radiasi yang mempunyai jangka hayat yang panjang dan kekal aktif selama berdekad. Ini melumpuhkan fungsi sesebuah komuniti kerana bahan radioaktif yang dihasilkan menyebabkan sesebuah kawasan tidak boleh didiami. RDD mempunyai fungsi sebagai agen gangguaan besar-besaran. Ciri ini membolehkan ia menjadi senjata yang efektif untuk mengganggu serta melumpuhkan perkembangan manusia mahupun persekitaran seperti yang menjadi matlamat pengganas.
Radiation Emitting Device (RED) adalah senjata yang menghasilkan bahan radioaktif secara senyap dan memberi kesan kepada manusia tanpa disedari. Kesan bahan radioaktif yang dihasilkan hanya akan dirasa apabila telah memberi kesan yang teruk kepada manusia dan persekitaran. Ia memancarkan bahan radioaktif yang tidak mempunyai bau serta warna.

Bahan Nuklear
Peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki di akhir Perang Dunia Kedua adalah titik permulaan kepada penggunaan bahan nuklear sebagai senjata perang. Pengeboman berkenaan telah menyebabkan kemusnahan besar-besaran. Perkembangan penggunaan bahan nuklear sebagai salah satu agen pemusnah oleh pengganas adalah sangat digeruni kerana ia boleh menyebabkan kemusnahan berterusan kepada manusia mahupun persekitaran.
Terdapat dua jenis utama senjata nuklear iaitu bom atom dan senjata termonuklear. Bom atom merupakan senjata yang dihasilkan melalui pengeluaran tenaga oleh proses pemisahan bahan nuklear (plutonium dan uranium) yang berlaku di dalam bom berkenaan. Proses pemisahan ini menghasilkan letupan yang sangat kuat dan menghasilkan radiasi neutron dan gamma yang sangat merbahaya dan boleh memusnahkan manusia atau persekitaran pada tahap yang teruk.
Senjata termonuklear juga dikenali sebagai bom hidrogen. Senjata ini dihasilkan melalui tindak balas isotop hidrogen pada suhu yang tinggi dan menghasilkan gas helium.
Bahan Letupan
Bahan letupan boleh didefinisikan sebagai bahan kimia atau bahan nuklear yang mempunyai sifat meletup. Bahan ini mempunyai tenaga simpanan yang tinggi dan apabila ia diaktifkan boleh menghasilkan letupan yang sangat besar dan cepat. Bahan letupan boleh diklasifikasikan kepada empat kelas utama iaitu agen letupan, bahan letupan primer, bahan letupan kelas rendah dan bahan letupan kelas tinggi.
Agen letupan merupakan bahan letupan yang sering digunakan pengganas. Agen ini adalah mudah didapati kerana ia digunakan secara komersial di kawasan pembinaan atau lombong. Contoh agen letupan yang sering digunakan oleh pengganas adalah ANFO (ammonium nitrate/fuel oil).
Bahan letupan primer adalah bahan yang digunakan untuk memasang agen letupan, bahan letupan rendah dan bahan letupan tinggi. Ia mempunyai ciri yang sensitif kepada haba dan cas elektrik.
Bahan letupan kelas rendah adalah bahan yang mudah terbakar dan biasanya digunakan di dalam pistol atau senapang. Contoh bahan letupan kelas rendah yang selalu digunakan ialah serbuk pistol.
Bahan letupan kelas tinggi adalah bahan letupan utama yang digunakan untuk tujuan ketenteraan. Bahan ini memerlukan bahan letupan primer untuk dinyalakan dan ia mempunyai sifat yang lebih mudah terbakar berbanding bahan letupan kelas rendah.
Terdapat dua cara bahan letupan ini boleh digunakan iaitu bahan letupan saiz besar dan bahan letupan saiz kecil. Bahan letupan saiz besar digunakan untuk menghasilkan impak secara terus dan menyebabkan kerosakan serta kematian dalam jumlah yang besar.
Manakala bahan letupan saiz kecil digunakan untuk mencapai kesan sekunder yang lebih teruk. Bahan letupan saiz kecil boleh bertindak sebagai agen penyebaran kepada bahan berbahaya yang lain iaitu bahan kimia, bahan biologi serta bahan radioaktif. Selain itu, ia juga bertindak sebagai umpan kepada bahan letupan yang lebih besar yang menyebabkan kerosakan dan kematian yang lebih banyak.
Cabaran Masa Kini
Sejauh manakah kebenaran dan potensi penggunaan CBRNE sebagai senjata pengganas? Apakah publisiti yang meluas mengenai CBRNE menyebabkan situasi panik tidak berasas di kalangan pemimpin dunia? Atau apakah CBRNE perlu digeruni dan langkah berjaga-jaga perlu diambil sewajarnya? Persoalan demi persoalan wujud dan kebimbangan akan terus tercetus kerana CBRNE akan tetap menjadi ancaman kepada seluruh dunia.
Kebimbangan mengenai penggunaan CBRNE sebagai bahan senjata menyebabkan setiap negara akan terus berusaha untuk mewujudkan langkah berjaga-jaga bagi menangani insiden CBRNE. Unit CBRNE ditubuhkan di setiap negara dan undang-undang keselamatan baru yang menghadkan penggunaan CBRNE diolah serta digubal untuk menjamin keselamatan negara masing-masing terus terjaga.
Seiring dengan perkembangan teknologi dan pengetahuan, CBRNE akan terus berkembang dan bakal menjadi suatu ancaman utama serta nyata pada satu masa akan datang. Ukuran emosi yang kuat membawa kepada tindakan nekad melibatkan kumpulan-kumpulan pengganas ini bakal meningkatkan lagi potensi untuk menggunakan senjata pemusnah besar-besaran.
CBRNE akan terus menjadi cabaran kerana dunia yang makin diasak oleh cetusan keganasan yang berkait rapat dengan isu sensitif seperti isu agama dan perkauman. Sensitiviti terhadap isu berkenaan boleh meningkatkan perasaan ekstremis dan kesanggupan untuk melakukan apa sahaja demi mempertahankan kepercayaan masing- masing. Kewujudan kumpulan pelampau dan kumpulan agama yang tumbuh bagaikan cendawan di seluruh dunia akan terus menyumbang dan meningkatkan kebarangkalian penggunaan CBRNE dalam ancaman keganasan.
Keupayaan spesifik kelima-lima bahan ini boleh menyebabkan kemusnahan yang tidak dapat dibendung sekiranya ia digunakan oleh pengganas pada masa akan datang. Satu ciri utama yang menyumbang kepada penggunaan CBRNE adalah bahan-bahan ini mudah didapati di pasaran dan maklumat mengenai cara penggunaannya mudah diperolehi melalui internet. Contohnya bahan letupan yang boleh didapati dengan mudah di dalam pasaran kerana ia digunakan secara komersial seperti di dalam bidang perlombongan.
Keadaan ini adalah juga sama bagi bahan kimia dan bahan biologi yang memang wujud di pasaran awam mahupun pasaran gelap. Penghasilan senjata kimia dan biologi dipermudahkan kerana segala peralatan dan bahan diperlukan telahpun sedia ada dan memang digunakan terutamanya di dalam bidang penyelidikan serta perubatan. Di samping itu, senjata kimia dan biologi boleh dihasilkan tanpa memerlukan fasiliti khusus. Oleh kerana penghasilan senjata kimia dan biologi ini tidak sulit, ia menjadi sukar untuk dikesan dan boleh disembunyikan.
Ancaman bahan kimia dan biologi akan bertambah sejajar dengan meningkatnya bidang bioteknologi serta kejuruteraan genetik. Peningkatan ilmu dalam dua bidang ini bakal membuka pintu kepada perkembangan senjata kimia dan biologi. Senjata yang lebih canggih, penghasilan patogen serta toksin yang sukar dikesan dan sukar diubati mungkin akan dihasilkan pada satu masa akan datang.
Perkembangan dalam teknologi maklumat telah membolehkan pelbagai generasi masyarakat termasuk kumpulan pengganas untuk membaca dan memperoleh ilmu. Kecanggihan sistem ini telah membuka ruang kepada pengganas untuk mempelajari mengenai penggunaan CBRNE. Internet merupakan gedung ilmu namun apabila ia digunakan untuk tujuan yang salah, boleh menjadi satu penyumbang ancaman keganasan. Perlu diingati juga informasi di dalam internet kebanyakannya boleh diperolehi secara percuma.
Antara ciri lain CBRNE ialah keupayaannya untuk berfungsi secara bersendiri mahupun secara gabungan dengan bahan lain. Penggunaan satu jenis bahan ini secara sendirian mahupun secara penggabungan dengan beberapa jenis bahan boleh menghasilkan kesan yang serius kepada manusia, infrastuktur, ekonomi serta sistem sosial sesebuah negara. Sebagai contoh, bahan radioaktif yang digunakan bersama bahan letupan sebagai dirty bomb untuk menghasilkan impak yang lebih teruk.
Kesimpulannya, persediaan menghadapi insiden serangan pengganas yang menggunakan CBRNE perlu dipertingkatkan selaras dengan perkembangan pelbagai bidang yang dilihat berpotensi menyumbang kepada penggunaan CBRNE. Langkah berjaga-jaga perlu diambil kerana penggunaan CBRNE oleh pengganas melibatkan risiko kehilangan dan kemusnahan yang besar.
Rujukan
5.    www.ibconsultancy.eu/cbrne/biology/
6.    Laman web rasmi Polis DiRaja Malaysia http://www.rmp.gov.my/
8.    Introduction to CBRNE Terrorism: An Awareness Primer and Preparedness Guide for Emergency Responders By Robert J. Heyer, D.Sc., Hazardous Materials Specialist
9.    Forensic Science Applied to CBRNE Evidence and Event , Randall Murch, PhD Professor, Virginia Tech National Capital Region, Arlington VA
Semakan Akhir
:
6 Mac 2014
Penulis
:
Grace Jinang
Akreditor
:
Dr. Mohamad Azaini bin Ibrahim
  



PENULIS TERLIBAT 
SEBAGAI PESERTA / JURULATIH

Previous
Next Post »