Mac, 28 – Program KLK First Aider In Every Home (FAIEH) Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) telah
diadakan di Kampung Bukit, Mukim Hosba, Jitra Kedah. Program ini berjaya
mengumpulkan siswa siswi semester 4 dan 2 serta Jawatankuasa BSMM Kubang Pasu untuk
berkampung selama seharian di kampung berkenaan.
Program 2 dalam 1 ini adalah
berkonsepkan First Aider In Every Home
(FAIEH) untuk siswa siswi semester 4
dan BSMM Bersama Masyarakat untuk
semester 2. Walaupun berada di dalam kawasan yang sama, namun modul aktiviti
adalah berbeza.
First Aider
In Every Home (FAIEH)
adalah bentuk latihan daripada siswa
siswi sem 4 sebagai fasilitator dengan bimbingan jurulatih untuk memperkenalkan
ilmu pertolongan cemas kepada peserta.
Setiap siswa siswi akan menerima seorang ahli masyarakat sebagai
peserta. Peserta FAIEH terdiri
daripada kaum bapa, ibu, remaja dan siswa siswi sekolah. Konsep stesen
digunakan untuk perkongsian ilmu, stesen – stesen berkenaan adalah menangani keracunan
makanan, luka dan pendarahan, renjatan, anduh, balutan, pitam, pengsan, CPR dan
lain-lain.
BSMM Bersama
Masyarakat
melibatkan siswa siswi sem 2. Pendedahan suasana masyarakat kampung melalui
lawatan dan mendengar taklimat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti pusat
penternakan madu kelulut, ladang pisang dan jagung dan pusat latihan jahitan. Siswa siswi sem 2
juga terlibat dengan gotong-royong, teori kawad kaki, anduh dan CPR.
Masyarakat kampung telah
bergotong-royong menyediakan jamuan untuk peserta program ini yang melibatkan
lebih 400 orang. Bermula dengan minum pagi, makan tengah hari dan minum petang.
Sajian makanan yang lazat ala-kampung berjaya mencuit rasa siswa siswi yang
datangnya dari seluruh pelusuk negara. Buah nangka, kari pisang dan ikan ,
ulam-ulaman, asam pedas dan lain-lain pastinya menarik selera peserta.
Program ini berjaya melatih para siswa
siswi untuk bekerjasama di dalam menghadiri dan menyertai setiap aktiviti yang
telah dirancangkan, aktiviti ini juga memberikan pendedahan kepada siswa siswi
untuk memimpin dan menguruskan sesuatu aktiviti di dalam suatu organisasi
secara berkumpulan di samping menambahkan pengalaman yang menarik secara terus
daripada masyarakat. Kesedaran terhadap kepentingan hidup bermasyarakat dan
semangat kesukarelawan adalah pemangkin ke arah kesuburan kemahiran insaniah
yang sangat diberi penekanan oleh Pusat Kokurikulum UUM.
Perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Haji Ahmad Zaini bin
Japar, ADUN Bukit Kayu Hitam. Beliau turut menyarankan kepentingan peranan
ahli keluarga supaya meningkatkan kemahiran pertolongan cemas ini dengan tujuan
membantu ahli keluarga dan masyarakat. Beliau juga memuji khidmat sosial yang
diberikan oleh BSMM Kubang Pasu dan Pusat Kokurikulum yang berterusan membantu
memberikan sumbangan kepada masyarakat. Ucapan alu-aluan turut disampaikan oleh
Pengerusi JKKK Kg Bukit, iaitu En Mohd
Danil bin Yob dan
diikuti ucapan yang mewakili BSMM Cabang Kubang Pasu disampaikan oleh En. Abu Bakar bin Othman.
Bas yang membawa siswa siswa meninggalkan Kampung Bukit pada jam 6 petang sesudah majlis penutupan dan sesi bersalaman dengan masyarakat kampung. Pastinya ingatan terhadap keramahan dan kerjasama yang terbaik daripada masyarakat Kampung Bukit terpahat kukuh di dalam ingatan siswa siswi UUM, walaupun bertemu hanya 10 jam sahaja.
ConversionConversion EmoticonEmoticon